Golongan pendidik seringkali dialamatkan dengan panggilan cikgu, guru, sifu, ustaz, ustazah, teacher, sir, encik, cik, pensyarah. Golongan pendidik juga sama ada yang memiliki sekeping diploma pendidikan, segulung ijazah, sarjana, kedoktoran, yang memiliki pengalaman ataupun yang hanya setahun jagung di dalam persekitaran mendidik anak-anak bangsa Malaysia, fokusnya adalah untuk mendidik, menyalurkan ilmu, mengasuh, membentuk, supaya nanti anak-anak bangsa dapat kembali menyumbang bakti kepada agama, masyarakat dan negara.

Di dalam abad ke 21, cabaran yang dipikul oleh pendidik amat hebat, dengan sarat bebanan pengurusan berbentuk digital, dalam pada masa yang sama masih menguruskan diri dan kelas dalam kaedah konvensional (kaedah lama) dan disulami pula dengan penggunaan teknologi yang hanya hidup sekadar tempoh "seminit-dua" sahaja. Anak-anak bangsa yang ketagih ilmu, boleh dikategorikan kepada 2, iaitu, yang hadir dari golongan berpendapatan rendah dan dari golongan yang berpendapatan selesa. Jika para pendidik berhadapan dengan para pelajar dari golongan ke 2 tadi, maka akan terlihatlah kehebatan mereka menguasai gajet-gajet terkini seperti telefon pintar, pemain MP3, pemain MP4, voice-recorder, komputer riba (laptop), netbook. Di samping itu juga, para pelajar yang terdedah dengan www, amat galak bermain dengan aplikasi sosial atas talian, Friendster, MySpace, Facebook, Blog, YouTube dan lain-lain lagi. Mereka mencapai aplikasi ini melalui telefon pintar mereka, melalui makmal komputer, cyber-cafe yang disediakan di sekolah, di kolej dan di universiti.

Pendidik, berada jauh di belakang jika dibandingkan dengan para pelajar abad 21 ini. Para pendidik hanya melalui zaman yang penuh dengan cabaran ini dengan menguruskan beban-tambah yang dipikul masing-masing dek kerana ketidaksedaran organisasi di dalam membawa arus perubahan yang mana memungkinkan sesuatu dilaksanakan secara berkesan dan lebih cekap. Para pendidik kurang mendapat pendedahan mengenai apa yang berlaku sebenarnya di dalam persekitaran pendidikan global, mahupun situasi glokal. Gajet yang dimiliki para pendidik tidak setanding iPhone, MacBook, MP3 player, kamera digital terbina dalam yang dimiliki oleh pelajar.

Lain pula cerita yang berlaku bagi golongan yang pertama tadi. Para pelajar selesa belajar dengan kaedah biasa. Kaedah yang kita terima dari guru-guru pada tahun 70, 80, 90-an. Kaedah dan pedagogi yang langsung tidak berubah, yang seakannya statik dan tidak ada pembaharuan. Mungkin pembaharuan tersebut hanya terlihat dengan penggunaan MS PowerPoint dan Projektor. Projektor yang tergantung di dalam kotak besi yang mana boleh merencatkan hayat projektor itu sendiri kerana khuatir dicuri. Persembahan MS PowerPoint dengan sarat animasi .gif yang bertujuan menarik minat para pelajar, namun sebenarnya tambah membunuh minat menyertai pembelajaran secara aktif.

Jadi apa yang harus diperlukan oleh para pendidik dalam abad ke 21 ini ? Jawapannya mudah saja (mengikut pandangan saya). Para pendidik yang mengajar tidak kira di peringkat rendah, menengah, kolej, universiti, politeknik, di pondok-pondok pengajian ilmu sekalipun, memerlukan :-
  1. pendedahan berterusan ke atas teknologi pendidikan.
  2. pengaplikasian bijak, dalam diri pendidik
  3. komuniti penyedia khidmat rujukan dan instruksional
  4. aktif di dalam komunikasi digital
  5. sokongan 100% dari organisasi.
Jika 5 keperluan ini dapat disediakan, maka sekurangnya-kurangnya, melalui perancangan no 1: pendedahan berterusan ke atas teknologi pendidikan, para pendidik mampu ;
  • menggunakan gajet seperti, telefon untuk mengambil gambar, merekod video yang kemudian dikongsikan ke dalam blog ( sesuai untuk P&P berbentuk eskperimen sains, tunjuk-cara, untuk lawatan akademik dan lain-lain)
  • masih lagi, menggunakan telefon untuk berkomunikasi, memaklumkan pelajar mengenai sesuatu (apa yang dipanggil mlearning, mobile learning)
  • merakamkan audio, sesi P&P yang kemudiannya dimuatkan ke dalam mana-mana host casting, yang mana ianya boleh dimainkan berulangkali oleh para pelajar, untuk tujuan peneguhan ( sesuai untuk subjek berbentuk kuliah, dan fakta-fakta, subjek Sejarah, Pendidikan Islam, Bahasa, English dan lain-lain)
  • mengendalikan kamera digital, kamera-video, menyunting dengan menggunakan perisian-perisian tertentu yang kemudiannya dimuatkan ke dalam portal / blog , laman persendirian bagi sesuatu topik yang akan diikuti oleh pelajar.
Namun, adakah kita bersedia untuk beralih secara total mengikut apa yang disarankan di atas ? Mungkin tidak (untuk masa kini) , Mungkin YA untuk masa akan datang, tetapi sekiranya kita mengambil masa yang terlalu lama, sudah pasti apa yang dirancangkan hari ini, akan menjadi basi pada para pelajar kita yang lebih terkehadapan dari kita. Untuk itu, para pendidik perlu berubah, organisasi perlu bertindak dalam mendedahkan teknologi dan mengguna-pakai teknologi tersebut terlebih dahulu sesama pendidik. Berkongsi apa jugak kelebihan dan keburukan semasa mengaplikasikan perkara-perkara di atas sesama pendidik. Apabila ini dilakukan, dan dilakukan secara bersistematik, intensif dan komitmen penuh dari para pendidik, saya pasti, insyaAllah, akan terciptalah budaya ilmu 2.0 yang baru, yang melibatkan kesemua para pendidik. Bayangkanlah, setakat artikel ini ditulis, pernahkah kita mendengar YM dalam Pendidikan, Facebook dalam Pendidikan, Friendster dalam Pendidikan, MySpace dalam Pendidikan, Blog dalam Pendidikan ? Apa saja yang terkini, kita boleh tambahkan pendidikan dihujungnya, di mana pendidik bersedia mengubah aplikasi tersedia di www, kepada persekitaran pendidikan yang akan memanfaatkan penggunanya. Bukan untuk menghalang tujuan asas fungsi aplikasi tersebut, tetapi adalah untuk menambahbaik fungsi aplikasi tersebut ke arah penyaluran ilmu.

Facebook, sebagai contoh, pemegang akaun boleh mencipta pelbagai kuiz di dalamnya. Golongan pelajar yang mendominasi aplikasi ini sering mencipta kuiz yang tidak langsung boleh membantu memperkembangkan potensi diri masing-masing. Bayangkan, dalam sela masa yang sesuai, seorang pendidik di dalam subjek Matematik, Sains, Fizik, Geografi atau apa saja, menyediakan kuiz yang mana akan dijawab oleh para pelajarnya yang berada di dalam rangkaian sosial pendidik tersebut. Ini cuma satu aspek, banyak lagi yang boleh difikirkan.

Aplikasi sosial lain seperti ning.com , slideshare.net, box.net, meebo.com, YM, edmodo.com, edublog, manymoon, zoho, dan banyak lagi, jika ia dikonstruk dengan baik oleh pendidik buat kegunaan persekitaran pendidikan, sudah tentu ia akan memberi impak yang besar dalam mencorakkan hala tuju pendidikan negara.