02 April 2011

My Journey towards 'Pulang Dulu Y'all'

Salam kepada pembaca, topik kali ini tidak akan membincangkan mengenai aplikasi Internet yang baru, atau apa-apa perisian yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman ataupun kisah pengembaraan perjalanan rutin harian untuk menyiapkan projek filem pendek, short-film yang berjudul 'Pulang Dulu Y'all' (PDY) . Idea pembikinan projek ini adalah bermula sebaik sahaja pulang dari menghadiri kursus di UNITEN. Ada satu projek lain yang diberi nama i-DICA (saya sendiri tidak berapa arif/jelas tentang pelaksanaan projek tersebut) namun telah tergerak di dalam hati untuk menyediakan pra-kerja untuk membuka laluan ke arah menjayakan (mungkin) projek i-DICA di atas. Sebenarnya, projek ini bukan dipertanggungjawabkan ke atas unit seliaan penulis, namun atas dasar ingin-tahu, ingin-mencuba, maka penulis mula berbual dengan pelajar-pelajar yang aktif di atas aplikasi sosial Facebook, bertanyakan mengenai kesudiaan menjadi ahli di dalam pembikinan filem pendek ini. Alhamdulillah, syukur pada Allah, ramai (tapi taklah kesemua pelajar sekaligus) yang menyatakan persetujuan di dalam menyumbang idea dan bakti di dalam menjayakan projek ini.. dan bermulalah kisah pengembaraan penulis dalam menuju titik akhir, penghasilan filem pendek PDY.

Sesi Pemilihan Pelakon

Proses ini berlaku dalam bulan Februari (13 dan 14) dengan dibantukan oleh pelajar dan rakan penulis. Sesi pemilihan pelakon berjalan dengan lancar. Pelakon yang telah dipilih secara rawak diberikan taklimat khas untuk proses-proses yang akan dihadapi oleh mereka. Untuk makluman , projek ini juga telah mendapat sokongan daripada ketua jabatan di tempat penulis bertugas.

Penggambaran

Ramai yang telah melihat penulis dan para pelakon yang terdiri daripada kalangan pelajar berada di satu-satu tempat, pada hari-hari yang telah ditentukan untuk melakukan penggambaran. Kebanyakan lokasi penggambaran adalah di premis di mana penulis bekerja. Waktu penggambaran tidak sekali mengganggu urusan  rutin pelajar. Jutaan terima kasih kepada petugas teknikal di kalangan pelajar juga yang memberikan 100% komitmen di dalam pembikinan filem ini. Mereka ini adalah pelajar yang 'mahu belajar' softskills (teknik penggambaran, fotografi, suntingan video dan yang berkaitan dalam bidang penyiaran). Suka penulis memberikan kredit penuh (terima kasih) kepada mereka yang membantu penulis di dalam menjayakan proses penggambaran ini iaitu :-

  • Ahmad Shazwan Hasnal (Kej Mekanikal) - juruvideo, jurufoto
  • Mohd Hazwandi Ismail (Kej Mekanikal) - juruvideo, jurufoto
  • Abdul Razak Omar (Kej Mekanikal) - juruvideo, juruvideo, suntingan
  • Suhail Syukri (Kej Awam) - sound, penataan bunyi
Terima kasih tidak terhingga juga kepada para pelakon yang terlibat (penulis meletakkan nama panggilan) , Banip, Bella, Bella 2, Bella Hana, Nuri, Ewa, Ain Pegi Study, Temah, Phery, Razak, Acik, Dani, Adah, Fatin, Nurol, Faiz, Yom, Lily, Faiz (KE), Termizi, pelajar-pelajar Kejuruteraan Elektrik, anda semua hebat ! (untuk scene di Dewan Kuliah) rakan penulis 3S (3-stooges syok sendiri ? tak patot, tak patot). Dengan berbekalkan kamera video Panasonic, kamera DSLR Nikon D90 (kepunyaan kolej), D7000 (kepunyaan penulis), D50,D3000 (kepunyaan pelajar) dan tripod (dipinjam dari En Hailmy), proses penggambaraan berjalan dengan lancar.

Susunan Muzik

Suhail Syukri adalah nadi di dalam proses ini. Walaupun idea asal dan melodi untuk filem ini dicadangkan oleh penulis, namun penulis memberikan kredit penuh kepada Suhail Syukri kerana beliau melakukan yang terbaik di dalam memberikan kualiti terhadap skor muzik untuk filem ini. Syabas juga diucapkan kepada pelajar-pelajar yang menyumbangkan suara emas di dalam lagu-lagu soundtrack filem ini, iaitu Adah (turut memegang watak di dalam filem), Husna, Atiqah Fadh dan Khairul Aiman aka Gey, Grey, entah apa nick yang disebut, penulis masih gagal untuk memahami. Tidak dilupa juga kepada Syamil, pemuzik undangan secara tiba-tiba (dicadangkan oleh Suhail Syukri) , namun banyak membantu semasa sesi rakaman lagu di studio rakaman Arbanji, Jitra, Kedah.




Suntingan Video

Buat masa sekarang penulis masih mencari-cari komputer berkeupayaan tinggi untuk mula melakukan proses suntingan. Kebanyakan scene telah diselesaikan. Proses sunting akhir yang pada mulanya dipertanggungjawabkan kepada Abdul Razak Omar, namun oleh kerana pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan penting, jadi, penulis memberikan kesempatan untuk pelajar tersebut menumpukan perhatian kepada peperiksaan terlebih dahulu. Proses suntingan akhir ini akan penulis jalankan sendiri setelah mempunyai komputer berkeupayaan tinggi yang disebutkan di atas. Komputer yang dicadangkan adalah Dell XPS Studio atau iMac. Perisian yang dicadangkan adalah sama ada Final Cut Pro ataupun Ulead Video Studio ProX2. Perisian-perisian lain berkemungkinan akan digunakan juga untuk proses suntingan, di mana kesan-kesan khas akan turut dimuatkan. 

Sinopsis Filem

Di bawah ini adalah sinopsis filem pendek ini yang dipetik terus dari proposal :-
Mengisahkan seorang pelajar program matrikulasi yang berasal dari kelompok keluarga yang miskin, namun beliau adalah seorang yang berilmu, rajin, menghormati orang yang lebih tua dan bersikap ingin membantu. Beliau berjaya merubah persepsi pelajar-pelajar lain yang mengatakan sukarnya untuk belajar di bawah program matrikulasi. Namun di saat akhir, pelajar ini diberitakan terpaksa meninggalkan kolej di atas sebab-sebab yang tidak diberitahu. Filem pendek ini bertemakan persahabatan dan keazaman untuk mencapai kejayaan dan berlatar kehidupan pelajar di kolej matrikulasi
InshaAllah,  jika tiada aral melintang, proses suntingan ke atas filem ini akan mengambil masa selama 1-2 bulan, dan dicadang akan dipakejkan ke dalam bentuk DVD serta dimuatkan ke dalam site vimeo untuk tatapan kesemua pelajar matrikulasi khususnya, dan semua yang ingin menyaksikannya (amnya).

Ulasan Keseluruhan

Sebenarnya, projek ini boleh dikatakan juga sebagai kerja-lapangan pelajar, field-trip. Di dalam subjek Teknologi Maklumat, ada diajarkan kepada pelajar-pelajar mengenai perisian menyunting Audio dan Video, namun perisian-perisian ini diajar kepada pelajar, sama ada dengan lisan (demo) atau melalui modul langkah-demi-langkah (pelajar telah dibekal dengan fail-fail audio video, kemudian dikehendaki untuk mengikut langkah demi langkah sehinggalah menghasilkan fail lengkap). Pada pandangan penulis, kaedah sedemikian hanya membantutkan HOTS (Higher-Order-Thinking-Skills) yang perlu ada pada pelajar. Namun, penulis terfikir, mungkin peruntukkan jam yang sekejap untuk mengajar praktikal tersebut dan juga kemahiran-kemahiran ini tidak sangat dititikberatkan kepada pelajar abad ke-21 ini, yang menjadikan pengajar tidak perlu mempersoalkan mengenai isu ini lagi (pelajar boleh belajar sendiri, oleh kerana boleh belajar sendiri, banyak video-video 'profesional' yang dapat kita lihat di laman youtube, mereka melakukan 'shooting' dengan 'profesional' dan tanpa panduan). Penulis berpendapat, projek ini dapat membuka minda pelajar ke atas aliran sebenar yang menghubungkaitkan, keperluan kepada kemahiran sunting audio dan video, dari proses penggambaran yang dilakukan, dari proses penataan bunyi, pelajar akan dapat melihat, inilah yang membantu mereka memahami kepentingan mempunyai kemahiran tersebut. Justeru, agenda tersembunyi di dalam penghasilan projek ini adalah untuk menerapkan idea, dan memberikan gambaran sebenar kepada pelajar tentang realiti kehidupan dan pekerjaan di dalam apa jua bidang yang akan diceburi setelah tamat pengajian di Universiti kelak. Kemahiran yang diperolehi ini akan menambah nilai diri pelajar masing-masing dan menambah pengalaman dan pengamalan pelajar. Itulah agenda yang ingin dicapai ! .. 

2 comments:

sumber-LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...