Salam, sudah agak lama saya tidak mengemaskini kandungan blog, ini. Kali ini, insyaAllah saya akan menyambung mengenai pos tempohari, iaitu persekitaran pembelajaran kendiri siri 2. Dalam pos yang terdahulu, saya memperihalkan kaedah pemerolehan ilmu melalui pembacaan di internet, majalah dan buku-buku ilmiah. Di samping itu juga, saya banyak mengikuti laporan di dalam blog-blog teknikal dan banyak lagi blog-blog individu (persendirian) yang berkongsi pengalaman di dalam melakukan sesuatu. Melalui pembacaan sebeginilah, dapat saya muatkan beberapa isi-isi yang menarik untuk dikongsikan bersama.

Di dalam dunia sekarang ini, khususnya dunia maya internet, perubahan ke atasnya adalah sesuatu yang pasti, dan perubahan inilah yang memacu ke arah, pemprosesan semula, penilaian semula kaedah atau model tradisi yang diguna pakai di dalam apa jua bidang, baik dari bidang pendidikan mahupun bidang mentadbir sesebuah kerajaan. Jika ini tidak diberi penekanan, maka, individu akan tertinggal jauh di belakang, bak kata pepatah, seperti katak di bawah tempurung. Kita dengan dunia/budaya tradisi kita, peduli apa dengan apa yang berlaku di sekeliling. Apa manfaatnya jika kita mengambil tahu semua ini ? Baik jaga periuk nasi sendiri dari membebankan memikir sesuatu yang baru (dan sudah pastinya memikir sesuatu yang baru bukanlah budaya yang digemari oleh orang yang ingin maju).

Maaf, terlampau banyak mengomel di perenggan di atas ini, cukuplah sekadar menyatakan apa yang dirasa. Baik, dengan kewujudan istilah Web 2.0 ini, yang dibawakan oleh O'Reilly, masyarakat celik IT amnya, dapat berkomunikasi serta berkolaborasi tanpa ada had sempadan. Saya, tidak terlepas dari menjadi pengikut setia era connectivism ini. Bermula dengan mencipta akaun di friendster (semata-mata ingin melihat, mengapa pelajar saya begitu asyik bermain dengan aplikasi friendster), kemudian saya mencipta pula akaun facebook (yang membolehkan saya bertemu semula dengan rakan-rakan sekolah rendah dulu, Alhamdulillah), dan yang terkini adalah Twitter. Bukan itu saja, malah banyak lagi aplikasi-aplikasi di atas talian ketika ini, yang sentiasa tumbuh bak cendawan, subur dengan mendapat respons dari pengguna internet. Terlampau banyak sehinggakan kita tidak berupaya untuk memilih yang mana satu perlu digunakan untuk kepentingan diri.

Tips dan Panduan Memilih Sumber Blog untuk bacaan
Berikut adalah panduan di dalam memilih blog yang baik untuk dilanggan dan dijadikan sumber bacaan:-
  • lihat siapakah pengarangnya, pemilik blog, jika ianya anonymous (bermaksud merahsiakan identiti) maka blog tersebut perlulah dihindari, carilah blog ternyata jelas, siapa pemiliknya, dan apakah kelayakannya bagi menulis di dalam blog tersebut, yang mana membincangkan topik secara profesional, efektif dalam penulisan dan, sentiasa diikuti, diulas, dikomen dengan baik oleh pengkritik yang beretika.
  • lihat kandungan blog tersebut, dari aspek penyusunan ayatnya, penggunaan ayat atau istilah yang mudah difahami, tidak secara terus menghentam atau mengkritik dengan menggunakan ayat-ayat yang kasar dan tidak baik, lihat juga ada atau tidak rujukan (web) rujukan buku, dan quote dari penulis lain yang menyokong topik yang dikupas.
  • lihat dan baca komen-komen yang diterima dari topik yang ditulis, sudah pasti ada yang akan memberi komen yang pelbagai, negatif atau positif, namun lihat perspektif pemberi komen dan juga isi-isi yang dikomen, jika ia boleh didebatkan, maka sudah tentu topik yang ditulis memberi impak besar ke atas komuniti internet.
  • lihat sama ada wujud capaian-capaian yang disarankan oleh pemilik blog, jika ada, blog tersebut sebenarnya menjadi sumber capaian pula ke atas blog atau web yang lain, ini amat baik bagi seseorang yang ingin terus mencari sumber dengan dibantu capaian dalam jurusan yang khusus.

Jadi, tips yang diberikan ini bertujuan untuk membolehkan para pengunjung internet, mempastikan bahawa sumber yang dibaca benar-benar boleh dirujuk untuk membicarakan sesuatu topik. Setiap blog yang dibaca, boleh dilanggani melalui RSS, subscribe, newsletter terus ke alamat email, follow dengan twitter, dan pelbagai cara lagi. Bagi saya penggemar aplikasi Google, saya melanggan dan membaca kesemuanya melalui Google Reader, jadi tidak perlulah ke site tersebut, kandungannya sahaja yang akan dihantar ke peti Google Reader saya jika ada pos/entry baru di dalam blog tersebut. Mudah bukan !