Assalamualaikum, sudah agak lama tidak menulis sebarang artikel ke dalam blog ini. Hari ini terasa ingin menulis dan berkongsi semula dengan para pembaca, khususnya mengenai subjek Sains Komputer (yang diambil oleh pelajar matrikulasi modul II). Perkara yang menyebabkan perlunya entry ini ditulis adalah kekurangan sumber rujukan di dalam bahasa Melayu/Malaysia ke atas topik Rangkaian Komputer (di dalam bahasa Indonesia, topik ini dipanggil Jaringan Komputer). Di bawah ini di sediakan beberapa video yang akan menerangkan mengenai topologi rangkaian. Di dalam pelajaran Sains Komputer, telah dikuliahkan mengenai 3 jenis topologi rangkaian (walaupun sebenarnya terdapat 2-3 lagi jenis topo namun, yang difokuskan adalah 3 sahaja). Jadi video-video di bawah ini dicapai secara terus dari laman web youtube (yang disekat dari capaian jika anda pengguna Internet, berada di dalam kawasan Kolej Matrikulasi - seluruh Malaysia, dan termasuk Institut Pendidikan Guru - juga seluruh Malaysia). Sebenarnya banyak benda berfaedah boleh diambil dari laman tersebut, namun mengikut pendapat sesetengah pihak, laman tersebut lebih membawa kerosakan daripada kebaikan, dan pelajar khususnya lebih berminat untuk membuang masa melihat video-video hiburan dari mencari video berkaitan dengan pelajaran (jika adapun, mungkin segelintir yang berbuat demikian - maaf ini pendapat peribadi).
3 video pertama di bawah ini (dengan masa main paling singkat tak sampai 60 saat) memperihalkan secara ringkas, mengenai topologi bintang, bas dan cincin (Star, Bus dan Ring). Anda dinasihatkan (khususnya pelajar - jika anda berada di dalam kawasan kolej matrikulasi) menggunakan modem broadband sendiri (Maxis, Celcom atau DiGi) untuk menonton video ini.
STAR TOPOLOGY (topologi bintang)
BUS TOPOLOGY (topologi bas)
RING TOPOLOGY (topologi cincin)
Daripada 3 video di atas, apa yang perlu anda (pelajar) lakukan adalah memahami apa yang disebutkan, dan catatkan atau tuliskan kata kunci, keyword bagi memberikan huraian anda terhadap topologi yang ditunjukkan.
Sekarang mari kita lihat pula pembentangan berkaitan topologi rangkaian yang dilakukan oleh pelajar-pelajar antarabangsa (yang mempersembahkan dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing).
Persembahan dari pelajar Eropah (bahasa Inggeris)
Komen FAO - pelajar ini mempersembahkan topologi bintang sambil berbantukan telefon bimbit beliau. Seringkali pelajar mempersembahkan idea dengan melihat/merujuk pada telefon bimbit tersebut (berkemungkinan pada telefon bimbit tersebut terdapat isi-isi penting yang menjadi panduan di dalam menyampaikan ideanya). Sesi persembahan ini juga diselang-seli dengan pertanyaan daripada pendengar (yang tidak kelihatan) yang bertanyakan soalan dalam sela masa tertentu (soalan mengenai kelebihan dan kekurangan topologi yang dibentangkan dan soalan berbentuk menguji minda, Why (you say so!) menyebabkan pelajar tersebut harus memberikan sebab untuk menyokong apa yang telah dihujahkannya.
Persembahan dari pelajar Indonesia
Komen FAO - pelajar Indonesia ini bertutur dengan jelas dan membuat persediaan rapi terhadap persembahan ini. Beliau juga menerangkan satu lagi topologi yang tidak menjadi fokus subjek Sains Komputer modul II matrikulasi, iaitu topologi pokok (tree topology). Tahniah kepada beliau yang mempersembahkan idea dengan baik sekali dengan berbantukan papan putih dan kad berimej.
Persembahan dari pelajar Eropah II (bahasa Inggeris)
Komen FAO - Pelajar ini mempersembahkan dengan menggunakan perisian webcam untuk merakam percakapannya, dan diselang-seli dengan imej topologi yang diterangkan, saya pasti pelajar ini meletakkan teks dihadapannya bagi memudahkan beliau menerangkan isi-isi berkaitan topologi yang dibentangkan. Walaubagaimanapun, persembahannya lancar dan agak baik.
Video-video di atas ini jika diulang main, akan sedikit sebanyak membantu pemahaman para pelajar mengenai apa sebenarnya topologi dan mendedahkan kebaikan dan keburukan setiap satu topologi yang dinyatakan. Suka saya kongsikan di sini, apabila saya menaip kata kunci 'Rangkaian Komputer' (dengan niat untuk mencari sama ada , ada atau tidak bahan-bahan video yang dibangunkan oleh pelajar tempatan Malaysia berkenaan topik Topologi Rangkaian, ini adalah hasil yang saya dapati.
.. mencari video di youtube dengan menaip keyword "Rangkaian Komputer" pada 19-Ogos-2011, inilah hasil carian yang ditemui, dan yang lain-lainnya pun tidak bertepatan langsung dengan apa yang ingin saya cari, mungkin video ini dibangunkan/dimuat-naik oleh pelajar sebagai kenangan beliau dan rakan-rakan semasa mengikuti kursus yang berkaitan dengan tajuk yang saya cari. Sedihnya, tidak dapat mencari sumber video yang dimuat-naik oleh anak tempatan berkaitan dengan ilmu pengetahuan yang boleh dirujuk oleh satu dunia.
InshaAllah, pada masa akan datang, akan dikongsikan pula tajuk-tajuk yang berkaitan dengan Classification of Network dan topik Internet. Terima Kasih. Selamat Belajar.
0 Comments
Post a Comment